SEJARAH SEKOLAH
SMK BARU BINTULU
PERASMIAN
Sekolah Menengah Kebangsaan Baru Bintulu dahulunya dikenali sebagai Sekolah Kerajaan Baru Bintulu. Sekolah ini telah dirasmikan pada 3 Januari 1989. Pada waktu tersebut, SMK Baru merupakan sebuah sekolah menumpang iaitu berkongsi bangunan dengan SRK Kg Baru. Tapak dan bangunan sekolah ketika itu ialah bekas bangunan SMK Bandar Bintulu dan terletak di Kampung Baru yang kini menempatkan bangunan baru SK Kampung Baru Bintulu yang telah beroperasi pada 18 Februari 2013.
SMK Baru bermula dengan seramai 243 orang pelajar iaitu dua kelas Peralihan, 6 kelas tingkatan 1 dan 14 orang guru sahaja. Lokasinya terletak di atas Bukit Kemunting, menghadap Sungai Kemena dan Bukit Kemunting di belakangnya. SMK Baru mula membangun dan merealisasi impian masyarakat di sekitarnya. Pihak pentadbiran dan warga sekolah sentiasa berusaha membangunkan sekolah ini agar setanding dengan sekolah-sekolah yang lain. Dengan sokongan PIBG dan masyarakat setempat, era baru, pentadbiran baru yang berwawasan, SMK Baru Bintulu dengan warganya terus menapak dan maju ke depan untuk misi yang seiring dengan NKRA dan aspirasi Kementerian Pelajaran Malaysia.
MANTAN PENGETUA
Pengetua pertama sekolah ini ialah Allahyarham Encik Rosli Bin Jolhi yang berkhidmat dari tahun 1989 sehingga 1994. Tugas beliau sebagai pengetua disambung oleh Encik Mat Noh Bin Haji Minan dari tahun 1994 sehingga 1995. Lagu sekolah, ‘Sekolah Kebanggaanku’ adalah ilham dan ciptaan beliau. Sebaik sahaja beliau berpindah, tempat beliau diganti oleh Tuan Haji Ismail Bin Jaya yang mengetuai SMK Baru Bintulu pada tahun 1995. Encik Awangku Omar Bin Awangku Yahaya pula ialah Pengetua seterusnya, iaitu dari tahun 1995 sehingga 1996.
Encik Mohamad Kasim Bin Arbain merupakan Pengetua SMK Baru Bintulu yang ke-5 dan paling lama iaitu selama 9 tahun. Beliau juga merupakan Pengetua yang menerima dan membangun SMK Baru Bintulu ke bangunan baru di Bukit Kemunting selepas beberapa tahun menumpang di SMK Bintulu. Beliau menerajui sekolah ini dari tahun 1996 sehingga 2005. Sebaik sahaja beliau berpindah, Encik Zainuddin @ Merjedi Bin Kuan mengambil alih sebagai Pengetua pada tahun 2005.
Pada Julai 2006, Puan Hajah Serina Binti Sauni yang ketika itu memegang jawatan sebagai Pegawai Pelajaran Bahagian Bintulu dipindahkan ke SMK Baru sehingga Ogos 2009 sebagai Pengetua. Pada November 2010 sehingga Jun 2011, Encik Then Chiew Nyiew telah dipindahkan dari SMK Tung Hua, Sarikei ke SMK Baru Bintulu sebagai Pengetua. Bermula Jun 2011, SMK Baru diterajui oleh Puan Rahani @ Rohani Haji Daud sebagai Pengetua.
PENCAPAIAN
Tanggal Ogos 2014, genaplah 25 tahun SMK Baru Bintulu beroperasi. Dalam tempoh tersebut, SMK Baru Bintulu telah banyak melakar kejayaan. Antara pencapaian & kejayaan tersebut ialah SMK Baru mendapat anugerah New Deal pada tahun 2013, mendapat pelbagai anugerah oleh kelas KAA di peringkat negeri, mewakili negeri dalam pertandingan PPDa kategori Laluan PPDa, aktif menjalankan aktiviti BCCC bersama dengan sekolah di luar negara. Tahun 2015, SMK Baru terus melakar sejarah. Buat kali ke 3 SMK Baru Bintulu telah terpilih mewakili Negeri Sarawak dalam Pertandingan Laluan PPDa Peringkat Kebangsaan dan berjaya mendapat penarafan 5 Bintang.
Tahun 2017, Pasukan Bahas Ala Parlimen SMK Baru Bintulu berjaya menjadi Naib Juara Bahas Kementerian Pendidikan Malaysia Peringkat Kebangsaan. Kejayaan tersebut bertambah manis apabila SMK Baru Bintulu dijulang sebagai Juara Bahas Piala Ketua Menteri Sarawak 2017 sekaligus seorang peserta kita dinobatkan sebagai Pembahas Terbaik! Malahan, wakil SMK Baru Bintulu dalam Qiraat Sab’ah Bittarannum berjaya menjadi Johan Peringkat Negeri Sarawak, seterusnya mewakili Sarawak ke Karnival Dakwah Sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia.
Lonjakan saujana dalam SPM 2017 yang diumumkan pada Mac 2018 merupakan hadiah paling bermakna khususnya bagi Mantan Pengetua, Puan Rohani Binti Daud yang bersara pada April 2018 dan seluruh guru SMK Baru Bintulu. Kebitaraan dalam pengucapan awam tidak dapat dinafikan lagi dengan kejuaraan SMK Baru Bintulu membawa nama Sarawak ke persada Kebangsaan dalam Pertandingan BM Bahas Ala Parlimen dan Pidato Piala Diraja. Malah, Jurulatih Bahas & Pidato iaitu Cikgu Nor Saadah dan Cikgu Mohd Nazareth menerima Anugerah Guru Cemerlang Kokurikulum Kategori Sekolah Menengah, Peringkat Negeri Sarawak sempena sambutan Perayaaan Hari Guru Peringkat Negeri Sarawak 2018. Malahan, Anugerah Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan JPN Sarawak 2018, SMK Baru Bintulu berjaya memperoleh Anugerah Sekolah Cemerlang Kokurikulum Sekolah Menengah (Bandar). Kejayaan vaie semakin bersinar melalui kejayaan Tokoh Nilam Sekolah yang dinobatkan sebagai Johan Anugerah Nilam Kategori Bahasa Melayu (Sekolah Menengah) Negeri Sarawak 2018 dan layak ke Peringkat Kebangsaan pada April 2019.
MOTTO DAN BATTLE CRY
Di bawah pimpinan Pengetua Puan Nurul Aleena Ruman Binti Abdullah bermula Oktober 2018, beliau telah menukarkan motto sekolah yang lama iaitu ‘Vaie Bersinar Terbilang’ kepada ‘SEBARU Hebat Gemilang Bersama’. Malah, laungan semangat (battle cry), ‘SEBARU TERBAIK MANTAP HEBAT’ turut dicetuskan dan menjadi pembakar semangat warga SMK Baru sehingga kini. Pada tahun 2020, Puan Fatimah Binti Wan Adini telah menjadi pengetua di SMK Baru. Di bawah pimpinan beliau, warga SMK Baru tabah dan bersemangat melaksanakan tanggungjawab masing-masing walaupun dalam norma baharu akibat pandemik COVID-19. Sama-sama kita terus berdoa agar SMK Baru Bintulu terus mencipta sejarah tersendiri dalam memartabatkan pendidikan berkualiti pada masa hadapan demi anak-anak Vaie dan Bumi Kenyalang.
SMK Baru Bintulu
#SebaruTerbaikMantapHebat
| Alamat | : | Peti Surat 1547, Jalan Kemunting, 97010 Bintulu, Sarawak |
| No. Telefon | : | 086-334529 |
| No. Faksimili | : | 086-334540 |
| E-mel | : | yea9102@moe.edu.my |
Lokasi Sekolah
Penafian :
Sekolah Menengah Kebangsaan Baru Bintulu adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.
Hakcipta terpelihara © 2026 ~ Sekolah Menengah Kebangsaan Baru Bintulu~













